PUTRAJAYA - Penganjuran sebarang jenis rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini tidak dibenarkan bagi membendung peningkatan kes-kes berkaitan Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ziarah hari raya pula hanya dibenarkan bagi kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sahaja.

“Ziarah hari raya tidak dibenarkan bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Ziarah hari raya untuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya dibenarkan pada 1 Syawal dengan tetamu tidak melebihi 15 orang pada satu-satu masa,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya, aktiviti ziarah kubur juga tidak dibenarkan di kawasan PKP dan PKPD.

Begitu juga dengan jamuat selepas selesai solat sunat hari raya Aidilfitri di masjid atau surau tidak dibenarkan di kawasan PKP dan PKPD.