PUTRAJAYA – Dua lokasi di Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan peningkatan jangkitan Covid-19 secara mendadak.

Lokaliti tersebut ialah Mukim Taiping, daerah Larut Matang dan Selama berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat peningkatan kes bagi 3 kluster aktif di Mukim Taiping iaitu Kluster Jalan Kolam Dua di Kampung Expo, Kluster Jalan Pokok Assam di Kampung Pokok Assam dan Kluster Jalan Sepat di Kamunting.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di Mukim Taiping, Daerah Larut, Matang dan Selama, Perak bermula 7 Mei sehingga 20 Mei ini.

Katanya, pelaksanaan PKP di kawasan ini untuk memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 ke kawasan lain.

“SOP PKP sama seperti yang telah diumumkan sebelum ini dan untuk maklumat lanjut, sila rujuk di laman sesawang MKN iaitu https://www.mkn.gov.my,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini, di sini.

Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di Kampung Lubok Katak, Tapah, Batang Padang.

Sehingga kini, KKM telah merekodkan 22 kes positif Covid-19 hasil daripada 45 ujian saringan dilakukan ke atas penduduk lokaliti tersebut.

Menurut Ismail Sabri, KKM juga memaklumkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam masa seminggu dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

Katanya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Lubok Katak, Tapah, Batang Padang, Perak berkuat kuasa 7 Mei sehingga 20 Mei ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes serta menyekat penularan jangkitan kes Covid-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain di luar lokaliti tersebut,” ujar beliau.

Berdasarkan dengan situasi semasa Covid-19 ketika ini, kerajaan juga bersetuju untuk tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta, majlis sosial seperti kenduri kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, resepsi, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari ulang tahun, reunion, retreat dan lain-lain majlis sosial bagi semua kawasan yang dilaksanakan PKP.

Begitu juga dengan dine-in di kedai makan turut tidak dibenarkan di kawasan yang dilaksanakan PKP berkuat kuasa mengikut tarikh pelaksanaan PKP.