PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel menyerang bumi Palestin yang dianggap sebagai perbuatan zalim serta tidak berperikemanusiaan. 

Beliau juga meminta supaya serangan yang dilakukan rejim Israel itu sejak Ramadan lalu sehingga ke hari ini perlu dihentikan serta merta. Katanya, rakyat Palestin di Gaza menderita akibat serangan ganas rejim zionis Israel yang memusnahkan bangunan-bangunan kediaman sehingga ada antara mereka yang cedera dan kehilangan nyawa. 
 
"Wanita dan kanak-kanak tidak terkecuali," katanya dalam satu Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung petang tadi. 
 
Muhyiddin berkata, tindakan kejam Israel seharusnya dikecam oleh seluruh masyarakat dunia kerana disifatkan sebagai mencabuli undang-undang antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia.
 
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meluahkan rasa kesal di atas ketidakmampuan masyarakat antarabangsa bagi menghentikan keganasan rejim Israel.
 
"Sehingga kini, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin lantaran
bangkangan daripada Amerika Syarikat. 
 
"Justeru, Malaysia, Indonesia dan Brunei akan mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengutuk tindakan zalim rejim Israel ke atas Palestin," ujarnya. 
 
Muhyiddin berkata, Malaysia tidak terkecuali dalam menyalurkan bantuan secara berterusan kepada rakyat Palestin. 
 
Sehubungan itu, beliau juga menyeru kepada rakyat Malaysia supaya bersama-sama membantu menghulurkan sumbangan kepada rakyat Palestin melalui saluran yang sah agar beban mereka dapat dikurangkan.