IPOH – Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menafikan isu tular di laman sosial berhubung artis wanita, Datin Eina Azman bersama pasangannya yang dikatakan memotong barisan dan mengambil Vaksin Covid-19 di hospital berkenaan baru-baru ini.

Ini kerana pasangan tersebut memang tersenarai sebagai penerima vaksin atas nasihat doktor pakar yang merawatnya kerana pesakit dikategorikan sebagai golongan yang bensiko tinggi.

Pengarah HRPB, Dr Abdul Malek Osman berkata, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) HRPB menerima rujukan pesakit daripada berbagai fasiliti kesihatan dari dalam dan luar negeri Perak.

Menurutnya, semua pesakit yang dirujuk kepada PPV ini telah menjalani pemeriksaan awal iaitu penilaian pravaksin (PVA) yang hanya boleh didapati di Klinik Pakar Perubatan Hospital Pusat Pemberian Vaksin.

“HRPB hanya memberi suntikan vaksin kepada pesakit atau pelanggan yang telah dirujuk dan tidak melakukan PVA tersebut di fasiliti PPV hospital ini.

“Pemberian suntikan vaksin bagi fasa kedua telah dibenarkan keutamaan kepada golongan berumur 60 tahun ke atas dan individu mempunyai komorbiditi serta golongan yang berisiko tinggi.

“Berdasarkan semakan, kelayakan pemberian suntkan vaksin kepada pasangan tersebut adalah berdasarkan rujukan oleh doktor pakar yang telah merawat pasangan ini atas masalah kesihatan dan komorbid yang dihadapi mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Eina dan suaminya telah menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV HRPB pada Selasa lalu.

Media sebelum ini melaporkan, Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 26, mencetuskan kontroversi selepas dikatakan memotong barisan bagi tujuan mendapatkan suntikan vaksin apabila dia dan suami, Datuk Paduka Kaiser Gurmeeet Harden dilihat berada sebuah hospital di Ipoh, Perak.

Eina berkongsi satu hantaran status di Instagram memaparkan dirinya dan suami dikatakan berada di sebuah hospital selepas selesai disuntik vaksin.

Bagaimanapun, selepas dipersoalkan netizen bagaimana dirinya boleh mendapat ‘jalan pintas’ suntikan vaksin sedangkan dia dan suami bukan tergolong dalam petugas barisan hadapan, ibu kepada dua cahaya mata itu bertindak memadam hantaran terbabit.