PUTRAJAYA – Perlu ada kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia termasuk mereka yang berada di daerah atau negeri yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kerana kadar penggunaan katil di hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) kini mencecah 100 peratus.

Keadaan meruncing ini melibatkan negeri Selangor, Johor, Terengganu, Kelantan dan Sarawak berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 secara mendadak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, keadaan ini menyebabkan Kementerian Kesihatan (KKM) terpaksa menukar fungsi kegunaan katil di wad biasa kepada katil Covid-19 dan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi menghadapi pertambahan pesakit yang terus meningkat.

Menurutnya, sehingga kelmarin kira-kira 9,689 katil di hospital dan 25,605 katil di PKRC yang disediakan khusus bagi menempatkan pesakit Covid-19.

“Kadar penggunaan katil telah mencecah 75 peratus daripada kapasiti keseluruhannya. Ini meliputi kesemua lebih 140 buah hospital awam di bawah kementerian di samping puluhan PKRC di seluruh negara.

“Bagaimanapun, ada negeri yang sudah menghampiri paras 100 peratus iaitu di Johor, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Selangor ekoran peningkatan mendadak kes itu,” katanya pada sidang media secara maya semalam.

Semalam, negara terus merekodkan bilangan kes baharu Covid-19 tertinggi apabila sebanyak 7,857 kes dilaporkan dengan Selangor mencatatkan 2,675 kes, Sarawak (772), Kelantan (754), Kuala Lumpur (561), Johor (549) dan Pulau Pinang (365).

Adham memberitahu, kementerian telah mendapat kerjasama baik daripada hospital pengajar Kementerian Pengajian Tinggi yang bersetuju fasiliti mereka digunakan untuk pesakit Covid-19.

Antaranya ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan terbaharu Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katanya lagi, KKM juga menyambut baik kesediaan 110 buah hospital swasta khususnya di Lembah Klang yang bersetuju merawat pesakit Covid-19.

“Ia melibatkan 1,173 katil wad dan 119 katil ICU kerana ada pesakit yang memohon menerima rawatan di hospital swasta dengan sanggup bayar caj lebih tinggi,” ujarnya.