PETALING JAYA - Kerajaan mengarahkan supaya semua kilang minuman keras di Malaysia ditutup serta merta sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh (total lockdown) fasa pertama yang bermula hari ini. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini semua sektor perkilangan ditutup dan hanya 12 kategori sahaja dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Walaupun kebenaran beroperasi diberikan kepada kilang berasaskan makanan dan minuman, tetapi ia untuk keperluan asas sahaja.

"Justeru, kilang minuman keras tidak termasuk di dalam kategori keperluan asas dan perlu menghentikan operasi serta merta," jelasnya. 

Beliau berkata demikian dalam kenyataan harian PKP di sini, hari ini. 

​Pada 28 Mei lalu, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'total lockdown' fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula  1 hingga 14 Jun depan.