KUALA LUMPUR – Panda gergasi bernama Liang Liang selamat melahirkan seekor anak di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara malam tadi.

Ini adalah kelahiran kali ketiga bagi Liang Liang (panda betina) dan pasangannya Xing Xing (panda jantan) sejak berada di Malaysia pada tahun 2014.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam satu kenyataan memberitahu, pada masa ini jantina anak panda ini masih belum dapat dikenalpasti kerana ianya masih di bawah jagaan rapi ibunya dan tidak dapat didekati.

“Kelahiran anak panda kali ketiga ini merupakan satu lagi kejayaan kepada usaha konservasi Giant Panda di bawah Program Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat China yang dimeterai pada tahun 2012.

“Petugas Zoo Negara akan terus memantau dan mengawasi Liang Liang dan anaknya bagi tempoh 24 jam,” jelas kenyataan tersebut.

Anak pertama dan kedua iaitu Nuan Nuan dan Yi Yi dilahirkan masing-masing pada 18 Ogos 2015 dan 14 Januari 2018.

Nuan Nuan ditempatkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) Zoo Negara selama 27 bulan sebelum dihantar ke Pangkalan Panda Dujiangyan, Sichuan di China pada 14 November 2017.