PUTRAJAYA - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 akan diumumkan pada Khamis depan mulai jam 10 pagi dan semakan boleh dibuat menerusi beberapa saluran.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, calon sekolah dan calon persendirian boleh membuat semakan keputusan melalui secara dalam talian di portal Lembaga Peperiksaan http://lp.moe.gov.myuntuk mendapatkan keputusan penuh.

"Calon juga boleh menyemak keputusan menerusi perkhidmatan SMS untuk mendapatkan ringkasan keputusan SPM 2020 dengan menaip SPM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan hantar ke 68886.

"Perkhidmatan ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada 10 Jun ini sehingga jam 6 petang pada 17 Jun ini," kata kenyataan tersebut.

Bagi calon sekolah yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan mengenalpasti calon tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.

Manakala calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet pula, pihak Jabatan Pendidikan Negeri/Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenalpasti calon persendirian tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.