KUALA LUMPUR – Semua sekolah di seluruh negara akan menjalani persekolahan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selepas tamat cuti penggal 13 Jun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, PdPR akan diteruskan selama 25 hari sehingga 15 Julai.

“Keputusan sama ada sekolah dibuka secara bersemuka atau meneruskan PdPR selepas cuti pertengahan penggal pada 26 Julai akan dimakluman seminggu lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang mediamengenai pengoperasian sekolah yang disiarkan langsung di saluran televisyen dan media sosial di sini pagi ini.

Sehubungan itu, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan negeri masing-masing.

Pembukaan sekolah pada 13 Jun membabitkan negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala pada 14 Jun pula membabitkan negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Jelas Radzi, ketetapan yang berkuat kuasa hari ini bukan saja merangkumi sekolah kerajaan, malah turut membabitkan sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang mendaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata, sekolah berkenaan perlu melaksanakan PdPR sepanjang tempoh ditetapkan berdasarkan takwim masing-masing.

Radzi berkata, KPM akan membuat pengumuman lebih awal iaitu seminggu sebelum sesi persekolahan bermula bagi setiap cuti pertengahan penggal.

"Ramai yang akan bertanya apa akan berlaku selanjutnya selepas ini iaitu selepas berakhirnya sesi cuti pertengahan penggal itu.

"Jadi, KPM akan memaklumkan kepada ibu bapa dan murid sekurang-kurangnya seminggu sebelum persekolahan bermula mengenai pendekatan selanjutnya berdasarkan situasi pada waktu itu," katanya.