Kedai Gunting Rambut, Salon Kekal Tidak Dibenarkan Beroperasi
- Details
- Nasional
- Hits: 648
PUTRAJAYA - Kerajaan masih tidak membenarkan pengusaha kedai gunting rambut untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai perkara itu.
Beliau berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada pengusaha kedai gunting rambut dan persatuan berkaitan yang memohon untuk membuka premis perniagaan masing-masing.
Bagaimanapun, menurutnya, kedai gunting rambut masih berada di dalam senarai industri atau premis yang tidak dibenarkan menjalankan perniagaan dalam tempoh berkenaan.
"Mereka mengadu sudah hilang sumber rezeki sejak dua bulan lalu dan cuba minta kebenaran untuk beroperasi semula.
"Malah jika kita tetapkan prosedur operasi standard (SOP), mereka (pengusaha kedai gunting rambut) sanggup ikut.
"Kita tahu perniagaan ini paling laris sebelum raya namun setakat ini kita masih tidak mendapat sebarang nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya pada sidang media harian PKPB di sini, tadi.