Covid-19 : Tiada SOP Ibu Bapa Dilarang Bawa Anak-anak Ke Pusat Beli Belah
- Details
- Nasional
- Hits: 626
PUTRAJAYA - Kerajaan tidak menetapkan sebarang prosedur operasi standard (SOP) untuk menghalang ibu bapa membawa anak-anak mereka ke pusat beli belah.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini, beliau dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah setiap hari menasihatkan ibu bapa supaya tidak berbuat demikian bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.
Menurutnya, perkara itu ada dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pagi tadi, dengan mempertimbangkan implikasi lain yang akan berlaku jika dilaksanakan.
"Sebagai contoh, ada ibu tunggal yang mempunyai anak kecil. Kalau mereka dihalang untuk bawa anak ke pusat membeli belah dan jika bawa, mereka akan dikenakan kompaun.
"Kalau kunci di dalam rumah, apa-apa sahaja boleh terjadi pada anak mereka. Kalau tinggal dalam kereta, takut ada kes kematian pula.
"Jadi banyak pertimbangan juga yang kita perincikan tadi bagi mengelakkan timbul isu baru akibat perkara ini.
"Justeru kita meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN untuk berbincang secara lebih terperinci," katanya pada Sidang Media Harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, tadi.
Menyentuh isu menziarahi tanah perkuburan pada Aidilfitri ini, Ismail berkata, ia masih di peringkat nasihat dan tiada SOP ditetapkan untuk melarang orang ramai melakukan aktiviti itu.
"Semalam Ketua Pengarah Kesihatan menasihatkan supaya tidak pergi kubur dan hari ini pun tidak dibincangkan mengenai SOP ziarah kubur, jelasnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan virus Covid-19 akan terus berada di sekitar kita sekurang-kurangnya dua tahun, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan lima tahun, sehingga vaksin untuk virus itu ditemui.
"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak kekal hingga dua tahun, namun apabila PKP tamat, segala SOP atau peraturan tidak boleh dikenakan pada rakyat, maka kawalan kendiri perlu dilakukan, ujarnya.