KUALA LUMPUR - Bermula 9 Jun sehingga petang tadi, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima menghadap 18 pemimpin parti politik secara bersemuka dan maya di Istana Negara bagi mendengar pandangan mereka mengenai pelbagai isu terutamanya berkaitan pandemik Covid-19. 
 
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata dalam satu kenyataan memaklumkan, selain pemimpin politik, baginda turut berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tun Arifin Zakaria di Istana Negara, hari ini.
 
Menurutnya, sesi-sesi menghadap dalam kalangan pemimpin parti politik adalah atas inisiatif serta keprihatinan baginda dan berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 serta pelaksanaannya semasa tempoh Darurat. 
 
"Sepanjang sesi menghadap berlangsung dalam kalangan pemimpin parti politik tersebut, banginda berkenan
mendengar pandangan-pandangan mereka mengenai pelbagai isu.
 
"Susulan sesi-sesi menghadap ini, pandangan-pandangan yang telah dimemukakan oleh para pemimpin parti politik akan diwasilkan di Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok, yang akan bermula pada jam 2.30 petang," jelasnya. 
 
Beliau juga memaklumkan bahawa beberapa pakar dari agensi-agensi kerajaan turut dijadualkan memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang akan diadakan esok.