KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Strategi Pelan Pemulihan Negara merangkumi empat fasa, membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat dalam satu Perutusan Khas yang diadakan secara langsung, petang tadi. 
 
Dalam perutusan tersebut, beliau turut memaklumkan negara kehilangan RM1 bilion sehari sepanjang PKP dilaksanakan. 
 
Katanya, setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan 'Tiga Indikator Ambang Utama' untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.
 
"Indikator pertama adalah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian diikuti indikator kedua iaitu keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU).
 
"Manakala indikator ketiga melibatkan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin," ujarnya.
 
Beliau berkata melalui pelan tersebut, kerajaan akan pertimbang peralihan Fasa Pertama kepada Fasa Kedua PKP sekiranya purata kes harian Covid-19 adalah di bawah 4,000 kes. 
 
"Bagaimanapun, aktiviti sosial, rentas negeri masih tidak dibenarkan semasa Fasa Kedua PKP namun kerajaan akan mempertimbangkan aktiviti ekonomi dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis. 
 
"Sementara itu, semua aktiviti pembuatan dibenarkan beroperasi semasa Fasa Ketiga PKP tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan mengikut had kapasiti yang ditetapkan. 
 
"Semasa Fasa Ketiga PKP, semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti berisiko tinggi dijangkiti Covid-19, masih ditutup," jelasnya. 
 
Katanya, Fasa Ketiga PKP hanya akan dilaksanakan sekiranya negara berjaya capai nilai ambang iaitu purata kes harian Covid-19 bawah 2,000 kes. 
 
Muhyiddin turut memaklumkan Parlimen dijangka boleh bersidang semula pada September atau Oktober ini pada Fasa Ketiga mengikut SOP yang ketat.
 
"Ini pendirian saya daripada awal bahawa sistem demokrasi Parlimen boleh berfungsi semula pada masa sesuai, iaitu setelah kes (Covid-19) terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok.
 
"Saya akan terus mendokong sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan," ujarnya.