PUTRAJAYA – Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim, 59, dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang ke-27 berkuat kuasa hari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Mazlan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut kenyataan itu, Mazlan yang dilahirkan pada 25 Disember 1961 di Kota Setar, Kedah berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi Sumber.

Beliau pernah menjawat jawatan di daerah sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah (TKPD) Melaka Tengah, Melaka, TKPD Tanah Merah, Kelantan, TKPD Shah Alam, Selangor, Ketua Polis Daerah (KPD) Padang Besar, Perlis dan KPD Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

“Selain itu, beliau pernah menjawat jawatan Pegawai Staf Latihan di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu, Selangor dan Pegawai Belanjawan, Bahagian Latihan Bukit Aman,” kata kenyataan tersebut.

KDN berkata, di peringkat kontinjen atau negeri, beliau pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri Kelantan sebelum dinaikkan pangkat seterusnya dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan.