KUALA LUMPUR – Arkitek dan pereka dalaman di seluruh Asia berpeluang untuk merebut Anugerah Pereka Muda Asia terulung (AYDA) yang kembali untuk kali ke-14 pada tahun ini bertemakan FORWARD: Amplifying Empathy Through Design.

Pengarah Urusan Nippon Paint Group Malaysia (Nippon Paint), Yaw Seng Heng berkata, anugerah ini diwujudkan bagi menghargai pereka muda seni bina dan reka bentuk dalaman dan telah dianjurkan oleh Nippon Paint Malaysia sejak 13 tahun lalu.

Menurutnya, visi AYDA adalah untuk memupuk generasi pereka muda seterusnya melalui pengalaman silang belajar dan jaringan ahli-ahli profesional industri, serta menyediakan platform untuk mereka mempamerkan karya dan merealisasikan potensi masing-masing.

“Tema AYDA untuk tahun ini bertujuan untuk mencabar generasi arkitek dan pereka dalaman generasi ini membentuk ruang satu dimensi dan menggabungkan permintaan pengguna sambil mengambil kira faktor kritikal seperti kelestarian dan penjagaan alam sekitar.

“Setiap tahun, tema dan program AYDA dipilih dengan teliti dan dikurasi oleh pasukan AYDA Nippon Paint yang turut bekerjasama dengan panel penasihat terdiri daripada pakar industri yang menganalisis trend reka bentuk dan keperluan mengikut kehendak pengguna.

“Ini bagi untuk memastikan pereka-pereka muda dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan untuk mempersiapkan mereka ke arah platform yang lebih professional pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, AYDA telah berkembang dari menjadi platform penganugerahan hingga menjadi komuniti reka bentuk global yang terdiri daripada pakar-pakar industri dan lebih dari 1,200 institusi pendidikan tinggi di 16 lokasi geografi, memberi impak kepada lebih 100,000 pelajar rekabentuk dengan memberi mereka pendedahan dan pengalaman pembelajaran kehidupan sebenar melalui perangkaian.

“Melalui perkembangan itu, penganugerahan ini mengalu-alukan bakat di luar rantau Asia, serta pereka-pereka muda dari seluruh dunia untuk turut serta bersama-sama,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Pengurus Besar Penjualan dan Pemasaran Kumpulan IJM Land Berhad, berkata, Christine Wong berkata,  IJM Land Berhad  dan Nippon Paint Malaysia telah menjalinkan hubungan kerjasama sejak lapan tahun lalu.

“Melalui jalinan kerjasama ini, kami banyak memberi komitmen dalam membentuk dan mempengaruhi masa depan harta tanah.

“Justeru, kami akan terus berusaha untuk memupuk dan memperkasakan bakat-bakat reka bentuk generasi baru dengan menyokong inisiatif yang menghubungkan pendidikan kreatif dan pengalaman industri,” ujarnya.

AYDA 2021 kini dibuka untuk pendaftaran dan untuk maklumat lanjut, sila lawati laman sesawang https://www.asiayoungdesignerawards.com.my atau Facebook @AYDAMalaysia. Tarikh akhir penghantaran adalah pada 15 Oktober 2021.