KUALA LUMPUR – Hanya RM5,000. Itu anggaran simpanan yang dimiliki kira-kira 900,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai simpanan kurang daripada jumlah tersebut menyebabkan ianya sesuatu yang perlu dibimbangkan.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, sebab itu KWSP perlu mencari kaedah bagi menambah simpanan pencarum untuk mengelakkan kesan jangka panjang selepas pencen.

Menurut beliau, perkara itu juga akan mewujudkan ‘krisis sosial pekerja pencen’ sekiranya ia tidak ditangani sejak awal.

“MTUC akur kepada keputusan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran simpanan pekerja dan berharap kerajaan akan bertanggungjawab ke atas pengeluaran sumber simpanan hari tua pekerja.

“Kerajaan perlu merangka pelan pemulihan simpanan dengan fokus menambah simpanan hari tua dengan sekurang-kurangnya menambah kembali atau mengantikan pengeluaran yang telah di buat dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pembentangan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) telah memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu ahli KWSP iaitu i-Citra.

Menurut Muhyiddin, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.