KUALA LUMPUR - Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 mencatatkan peningkatan sebanyak 0.01 kepada 2.78 berbanding 2.77 pada 2019.

Ahli Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, seramai 741 calon memperoleh PNGK 4.0 berbanding 804 calon pada tahun sebelumnya.

"Daripada jumlah itu, seramai 554 calon (STPM 2020) yang mendapat PNGK 4.0 adalah daripada keluarga B40.

"Pencapaian calon bandar juga masih mengatasi calon luar bandar daripada keseluruhan PNGK," katanya pada sidang media pengumuman keputusan STPM 2020 secara maya hari ini.

Seramai 42,893 calon menduduki STPM 2020 daripada 44,704 calon yang mendaftar untuk peperiksaan berkenaan.

Menurutnya, secara keseluruhan pencapaian calon STPM 2020 masih sama dengan pencapaian tahun sebelumnya berikutan peningkatan amat kecil iaitu hanya 0.01 mata.

Katanya, perbezaan peningkatan itu tidak menggambarkan signifikan yang besar kepada pencapaian calon STPM 2020 secara keseluruhannya.

Calon boleh menyemak keputusan masing-masing bermula hari ini pada pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpm