KUALA LUMPUR – Perang terhadap penyebaran berita palsu perlu diperhebatkan bukan sahaja mengenal pasti dan membongkarkan isu mengenainya, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang ancaman dan langkah-langkah untuk mencegahnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, semua pengamal media melibatkan stesen televisyen dan radio, akhbar dan platform dalam talian perlu proaktif mempergiatkan usaha ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Dalam konteks penyebaran maklumat, media bukan sahaja berperanan melaporkan berita sahih dan tepat, tetapi juga melindungi rakyat daripada berita palsu yang berpotensi menggugat usaha memerangi Covid-19 serta memelihara kesejahteraan dan kestabilan negara.

Saya yakin terhadap kematangan pemikiran masyarakat dalam membuat penilaian berita palsu, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kerajaan sangat menghargai usaha dan kerjasama pengamal media dalam memerangi berita palsu sejak bermulanya krisis Ini.

“Usaha ini perlu dipandang serius kerana kebelakangan ini terdapat peningkatan ketara dalam penyebaran maklumat atau berita palsu, sama ada tentang pandemik Covid-19, vaksinasi, kesihatan, isu sosial mahupun isu politik.

“Keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan orang ramai, malah menjejaskan usaha kerajaan membanteras penularan Covid-19 dengan berkesan,”ujarnya.

Saifuddin berkata, pihaknya dan beberapa agensi yang terlibat bertindak proaktif dalam mengekang peningkatan berita palsu terutamanya dalam konteks pandemik Covid-19.

“Pasukan Respon Pantas sejak Mac 2020 menangkis sebanyak 464 berita palsu.  Selain itu, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 turut dikuatkuasakan mulai Mac lalu bagi mencegah dan mengambil tindakan terhadap penyebaran berita palsu tentang Covid-19 dan kesihatan,” katanya.

Saifuddin pada masa sama menyeru rakyat Malaysia bersama-sama mencegah berita palsu dan mendapatkan kesahihan daripada pihak yang dipercayai termasuk laman web, portal dan media sosial rasmi kerajaan.