PUTRAJAYA - Sebanyak 19 kluster baharu direkodkan yang melibatkan 13 kluster tempat kerja, lima kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Kluster tempat kerja menyaksikan Selangor dan Johor mencatatkan tiga kluster, dua di Kelantan dan Kuala Lumpur serta masing-masing satu di Pulau Pinang dan Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster komuniti direkodkan iaitu tiga di Kuala Lumpur manakala Perak serta Johor, masing-masing satu kluster dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, Malaysia terus merekodkan peningkatan kes positif Covid-19 melebihi 9,000 iaitu 9,105 kes berbanding Sabtu, 9,353 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 5,194 kes.

“Sebanyak 91 kematian dicatatkan dengan 961 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 455 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 87,841 kes aktif.

“Selangor terus menjadi penyumbang terbesar apabila merekodkan sebanyak 4,682 kes dengan Kuala Lumpur (1,247), Negeri Sembilan (541), Johor (392), Kedah (382), Pahang (300), Melaka (278), Sabah (271), Sarawak (270), Pulau Pinang (243) dan Perak (207),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hanya sebuah negeri mencatatkan kes di bawah 200 iaitu Kelantan (150) manakala Terengganu (38), Labuan (54), Putrajaya (49) dan hanya Perlis merekodkan satu kes.

Kes kematian pula direkodkan di Selangor yang kekal mencatatkan kes tertinggi iaitu 34 kematian, Kuala Lumpur (21), Negeri Sembilan (12), Melaka (lapan), Johor (enam), Pahang (tiga), Kelantan (dua) serta masing-masing satu kes di Sarawak, Pulau Pinang, Perak, Kedah, dan Labuan.