PUTRAJAYA - Kompaun maksimum yang dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) akan kembali kepada RM1,000 sebaik Ordinan Darurat tamat pada 1 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berbeza dengan sepanjang pelaksanaan Ordinan Darurat, nilai maksimum kompaun yang akan dikenakan ke atas pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ialah sebanyak RM50,000.

Menurut beliau, tindakan kerajaan meningkatkan kadar kompaun sehingga RM50,000 sepanjang Ordinan Darurat itu untuk memastikan semua pihak mengikut SOP yang ditetapkan.

“Bila kita isytiharkan darurat, kita buat pindaan kepada RM50,000 kompaun kepada syarikat. Kalau dulu RM1,000 syarikat tak takut langsung.

“Sebab itu setiap hari saya umumkan ada sahaja kelab malam yang tidak pernah dibenarkan beroperasi, tetapi ada sahaja yang diambil tindakan kerana ingkar,” katanya selepas melancarkan Program Mindef Prihatin di Wisma Pertahanan di sini semalam.

Tindakan menaikkan kadar kompaun itu, tegas beliau, memberi impak terutama kepada pihak yang masih berdegil.

Kata Timbalan Perdana Menteri, matlamat kerajaan semata-mata untuk memutuskan rantaian Covid-19 yang dihadapi oleh negara sejak setahun lalu.

“Kalau setakat RM1,000 (tidak besar mana) bagi mereka (pihak yang degil), mereka buat keuntungan berpuluh ribu ringgit, mereka (tiada masalah) bayar RM1,000.

“Kilang-kilang pun sama, dulu hanya RM1,000, apa sahaja perlanggaran SOP kilang atau individu. Tapi kita pinda kepada RM50,000 untuk syarikat, ramai lagi berpandangan tak cukup,” katanya lagi.