KUALA LUMPUR – Cuaca panas kering yang dialami ketika ini disebabkan negara berada dalam Monsun Barat Daya dijangka akan berterusan sehingga pertengahan September tahun ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, semasa Monsun Barat Daya angin biasanya bertiup dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah sekali gus menyebabkan cuaca panas dan kering.

Menurut kenyataan tersebut, keadaan ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini. Sehubungan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding hari hujan.

“Bagaimanapun, hujan lebat serta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai masih boleh berlaku di Pantai Barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi,” kata MetMalaysia dalam kenyataan akhbar hari ini.

Tambah MetMalaysia, tiada gelombang haba berlaku di Malaysia setakat hari ini dan jabatan itu sentiasa melakukan pemantauan status gelombang haba di seluruh negara dari semasa ke semasa.

“Berdasarkan pemantauan MetMalaysia terhadap gelombang haba hingga 21 Julai, tiada kawasan di negara ini terdedah dengan gelombang haba.

“Stesen meteorologi MetMalaysia tidak merekodkan suhu melebihi 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut,” jelas kenyataan itu.