KUALA LUMPUR - Sebanyak 14 juta dos vaksin Sinovac akan dijual kepada mana-mana kerajaan negeri dan pihak swasta bagi mempercepatkan proses vaksinasi di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, penjualan itu akan dilakukan syarikat Pharmaniaga dengan setiap permohonan akan dinilai dan diteliti Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) bagi mengelakkan wujudnya monopoli mana-mana pihak terhadap vaksin tersebut.

Menurut beliau, Pharmaniaga adalah syarikat di negara ini yang akan membotolkan dan mengimport vaksin jenis Sinovac.

“Ada negeri seperti Selangor telah meminta dijual terus kepada mereka namun, sebelum ini, JKJAV mempunyai jadual program sendiri dan kini, baru mendapat kebenaran bagi menjualnya.

“Permohonan boleh dilakukan dari sekarang dan setakat ini kita telah menerima permohonan dari beberapa kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat dan hospital swasta,” katanya selepas sesi penyerahan kelompok terakhir bekalan vaksin Covid-19 Sinovac daripada Pharmaniaga kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di Shah Alam, Selangor.

Beliau bagaimanapun menegaskan harga bagi dos-dos vaksin tersebut akan ditentukan kemudian.

Ismail Sabri memberitahu, Pharmaniaga telah melengkapkan baki pemberian keseluruhan 12.4 juta vaksin Sinovac pada hari ini yang sepatutnya diperoleh November nanti.

Ujarnya, kerajaan juga telah meluluskan bagi mendapatkan dua juta lagi dos yang telah ditandatangani pada 19 Julai lalu dan menjadi keseluruhan sebanyak 14.4 juta vaksin Sinovac.