PUTRAJAYA - Penguatkuasaan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dilanjutkan bagi tempoh bermula 2 Ogos sehingga 31 Disember ini.

Perkara tersebut dimaklumkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 21 Julai lalu atas nama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Ia memaklumkan pelanjutan kawasan tempat jangkitan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ini adalah anjutan daripada perintah asal yang diwartakan pada 1 April lalu hingga 1 Ogos  iaitu Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan tempatan Jangkitan) 2020.

Warta berkenaan juga menyebut perintah itu boleh dinamakan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No. 2) 2021.

Kelmarin, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan tempoh Proklamasi Darurat, yang tamat pada 1 Ogos ini.

Kerajaan turut membatalkan enam ordinan yang dibuat semasa Proklamasi Darurat, berkuat kuasa 21 Julai lalu.