PUTRAJAYA - Sepertimana yang dijanjikan, kerajaan Arab Saudi menyumbang lebih 4.5 juta unit peralatan perubatan pelbagai jenis dan sejuta dos vaksin keluaran AstraZeneca secara percuma kepada Malaysia.

Sumbangan itu dihantar menerusi tiga buah pesawat Saudia Airlines yang tiba semalam dan hari ini.

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan dan rakyat Malaysia sangat menghargai sumbangan tersebut.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Arab Saudi atas tindakan amat responsif ini.

"Ini bukan kali pertama malahan Arab Saudi antara negara terawal menyalurkan lapan juta unit peralatan perubatan kepada Malaysia sekitar Mei pada tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Sumbangan itu diserahkan hanya selang beberapa hari setelah Raja Salman Abdulaziz Al Saud sendiri menitahkan King Salman Centre for Relief and Humanitarian Action menyalurkan sumbangan.

Keprihatinan berterusan baginda yang juga Penjaga Dua Masjid Suci itu membantu Malaysia menangani cabaran Covid-19 ketika ini benar-benar membuktikan tekad kerajaan Arab Saudi.

Secara keseluruhan nilai kesemua peralatan itu dianggarkan 18.75 juta riyal (RM21.1 juta) yang antaranya meliputi tiga juta unit pelitup pembedahan dan sejuta unit pelitup N95/K95.

Turut disumbangkan ialah 500,000 sarung tangan dan 10,000 alat perlindungan peribadi selain 319 unit pemampat oksigen, 150 unit ventilator nadi mudah alih dan 150 katil elektrik.