TANJUNG MALIM - Seorang maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan lori tangki muatan diesel, lori sayur dan van syarikat keselamatan di Kilometer 389.5 Lebuhraya Utara Selatan (NSE) (arah Utara) berhampiran Behrang, di sini tengah hari tadi. 

Kemalangan itu turut menyebabkan aliran trafik di kedua-dua arah sesak sejauh dua kilometer sejak jam 12.30 tengah hari dan pengguna lebuh raya dari arah utara dilencongkan memasuki susur masuk Plaza Tol Behrang dan Slim River. 

Difahamkan, van syarikat keselamatan itu membawa muatan duit dan wang tersebut telah dibawa ke bilik kebal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim. 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim menerima panggilan mengenai kemalangan itu kira-kira jam 12.33 tengah hari.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan seorang lelaki dari van tersebut maut manakala dua lagi masing-masing cedera parah dan cedera ringan.

"Kesemua mangsa cedera dan maut telah dikeluarkan dari kenderaan masing-masing dan dihantar ke Hospital Muallim. 

"Kes ini diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan ringkas. 

Dalam perkembangan berkaitan, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Pasir Puteh telah digerakkan ke lokasi susulan berlaku tumpahan diesel daripada lori tangki tersebut.

Sementara itu, setakat jam 4 petang tadi, lorong kanan laluan arah Utara yang juga lokasi kejadian berkenaan masih ditutup bagi kerja pembersihan diesel yang tertumpah. 

Manakala, bagi laluan arah ke selatan, pengguna lebuh raya masih diarahkan untuk memasuki laluan keluar ke Plaza Tol Behrang.