IPOH - Senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak Darul Ridzuan lengkap sepenuhnya selepas beberapa penstrukturan kecil dibuat sebelum dimuktamadkan pada hari ini. 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengumumkan penstrukturan semula portfolio barisan Exco Perak itu susulan pelantikan tiga Exco baharu pada 12 Mei lalu.

Tiga Exco baharu itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun; ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Zolkafly memegang portfolio Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam; Khairul Shahril (Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia), manakala Ahmad Saidi (Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau).

"Perubahan yang dibuat melibatkan portfolio Pengangkutan Awam yang sebelum ini dipegang ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan kini diserahkan kepada Zolkafly.

"Portfolio Infrastruktur yang sebelum ini dipegang oleh ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri turut diberikan kepada Zolkafly" jelasnya. 

Beliau berkata, bertepatan dengan fokus pentadbiran kerajaan negeri untuk memperkasa sektor pertanian dan menyumbang kepada agenda keselamatan makanan negara, portfolio Abdul Yunus diperluaskan kepada Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan.

Pada 31 Mac lalu, seramai tujuh ADUN dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri iaitu tiga daripada UMNO, dua daripada Pas dan dua daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Manakala, pada 12 Mei lalu, tiga lagi ADUN UMNO dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri. 

 

Senarai Portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan 

 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (ADUN Chenderiang) 

Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Integrasi Nasional

 

1) Datuk Saarani Mohamad (ADUN Kota Tampan) 

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna

 

2) Razman Zakaria (ADUN Gunung Semanggol) 

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, (badan bukan kerajaan) NGO dan Masyarakat Sivil

 

3) Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (ADUN Tualang Sekah) 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan

 

4) Datuk Sharul Zaman Yahya (ADUN Rungkup) 

Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor

 

5) Datuk Abdul Yunus Jamahri (ADUN Kuala Kurau) 

Exco Pertanian, Perikanan, Perladangan dan Sekuriti Makanan

 

6) Datuk Zolkafly Harun (ADUN Lintang)

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam

 

7) Datuk Wan Norashikin Wan Noordin (ADUN Kampung Gajah) 

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat

 

8) Mohd Akmal Kamarudin (ADUN Selama) 

Exco Agama Islam dan Penerangan

 

9) Khairul Shahril Mohamed (ADUN Bota) 

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia

 

10) Ahmad Saidi Mohamad Daud (ADUN Changkat Jering) 

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau