IPOH - Kelonggaran yang diberikan kepada penerima vaksinasi lengkap di negeri-negeri fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti Perak  tidak sepatutnya disalah guna hingga mengabaikan pematuhan.

Ini kerana  polis terpaksa mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,500 kepada 14 individu kerana melakukan rentas daerah walaupun tidak lengkap dua dos suntikan vaksin.

Lebih teruk lagi apabila kesemua mereka ini tidak memiliki surat kebenaran rentas daerah semasa pemeriksaan dilakukan di sekatan jalan raya (SJR).

Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semua kesalahan itu direkodkan sejak 10 Ogos lalu.

"Mereka bukan saja kerana tidak mempunyai surat kebenaran rentas daerah, malah mereka belum lengkap dos suntikan vaksin Covid-19.

"Malah seorang yang dikompaun pula kerana gagal menunjukkan bukti telah divaksin atas alasan tidak membawa telefon bimbit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Khairul Shahril Mohamed.

Kata Mior Faridalathrash, satu kompaun juga dikeluarkan kerana kesalahan 'dine-in'  selepas seorang pelanggan makan tanpa lengkap dua dos vaksin.