BATU KURAU - Masuk hutan cari orkid sehingga sesat kerana lupa jalan keluar.

Demikian perasaan cemas dilalui sepasang suami isteri bersama dua rakan mereka yang keluar mencari orkid di Hutan Simpan Redang Panjang dekat sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam semalam melibatkan mangsa terdiri daripada lelaki 71 tahun bersama isterinya yang berusia 42 tahun dan dua rakan wanita berusia 47 dan 60 tahun.

Difahamkan, mereka memasuki kawasan kebun kelapa sawit di Batu 23, Redang Panjang pada petang semalam untuk mencari pokok bunga orkid sebelum sesat.

Jurucakap bomba memaklumkan, salah seorang daripada mangsa kemudian berjaya menghubungi pihak bomba pada jam 7.14 malam menggunakan telefon bimbit meminta bantuan.

“Susulan kejadian ini, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kurau diketuai Komander Operasi, Mohamed Habib Mohamed Dali telah dikerah ke tempat kejadian bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat dengan dibantu empat anggota polis.

“Kesemua mangsa berjaya ditemui lima kilometer dari Pusat Kawalan Operasi pada jam 12.35 tengah malam,” kata jurucakap tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua mangsa dibawa keluar dari hutan itu dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 2.45 pagi.