IPOH – Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Zuraina Kamarul Ariff, telah mengikuti ‘Seminar Tourism Promotion Organization for Asia Pacific Cities’ (TPO) yang dilaksananakan secara webinar hari ini.

Ini merupakan pendekatan inovatif yang diambil sejajar dengan keperluan norma baharu berikutan pandemik Covid-19.

Sesi webinar ini bagi mempromosikan industri pelancongan telah dijayakan oleh 127 bandar ahli dari 15 negara Asia Pasifik.

Seminar atas talian ini telah berlangsung mulai jam 9 pagi.

Sebelum persidangan bermula, Zuraina telah mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung, Sekretariat TPO, Professor Dr Kim Soo-il dan seterusnya bercakap mengenai ‘Inter City Cooperation To Help Recover The Tourism Sector’.

Selain itu, tujuh wakil dari bandar ahli TPO iaitu Busan, Bheemdatta, Foshan, Ho Chi Minh, Kuala Kangsar, Vietnam dan Jogjakarta turut membentangkan kertas kerja masing-masing.

Manakala empat bandar ahli yang lain memberikan kata-kata aluan iaitu Busan, Pariaman (Indonesia), Ulsan Metropolitan City dan Taiping.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, beliau sentiasa mengaplikasikan mesyuarat atau seminar secara atas talian yang merupakan norma baru dalam tempoh pandemik Covid 19. 

Beliau sendiri misalnya telah mengadakan Mesyuarat OSC secara atas talian yang melibatkan 13 agensi teknikal luaran dan sembilan agensi teknikal dalaman pada 5 Mei lalu.