IPOH - Semua masjid dan surau termasuk di dalam instiusi pengajian, premis jabatan serta kem tentera di Perak yang mempunyai keluasan sesuai kini boleh mendirikan solat Jumaat mulai 10 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, perkara itu diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berpandukan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dengan tertakluk kepada syarat yang mesti dipatuhi.

Menurutnya, jemaah yang dibenarkan pula pada masa ini hanyalah dalam kalangan rakyat tempatan sahaja.

“Bilangan jemaah adalah mengikut had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menetapkan jarak satu meter di antara jemaah,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Shahrul Azam berkata, pihak pengurusan masjid dan surau juga perlu memastikan ada kawalan dibuat berhubung keadaan kesihatan jemaah sebelum dibenarkan masuk ke masjid atau surau.

"Ahli jawatankuasa masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan SOP Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan dipatuhi sepenuhnya.

“Identiti para jemaah yang datang untuk bersolat jemaah hendaklah disemak dan direkod sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat,” ujar beliau.

Katanya lagi, amalan-amalan tambahan yang beriringan dengan solat fardu seperti solat sunat dan kuliah antara waktu solat dalam had tempoh masa tidak melebihi 30 minit dengan pematuhan SOP.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan senarai  surau yang memenuhi kriteria untuk melaksanakan solat Jumaat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baharu.