IPOH - Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin@Md Daud mensasarkan bandar raya itu mampu mencapai 45 peratus pengurangan karbon menjelang 2030.

Beliau berkata, Bengkel Pembangunan Pelan Pelaksanaan Bandar Rendah Karbon dan Perolehan Hijau (GGP) yang dirasmikan hari ini menjadi platform dalam usaha merealisasikan matlamat tersebut.

“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) termasuk daripada empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terpilih menyertai projek ini.

"Ini adalah projek perintis GGP di peringkat PBT seluruh negara melalui aktiviti penukaran lampu biasa kepada lampu cekap tenaga dalam usaha menyokong inisiatif bandar rendah karbon.

“Melalui bengkel itu satu dokumen praktikal merangkumi pelbagai aspek seterusnya akan diguna pakai bagi menjayakan Program Low Carbon City 2030 Challenge (LCC2030C) di bandaraya ini," katanya selepas merasmikan GGP di Hotel Weil, hari ini.

Bengkel anjuran Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) dan MBI antara lain mengetengahkan sepuluh program antara yang utama ialah penjimatan tenaga, program tenaga solar PV, lorong berbasikal dan kenderaan elektrik, pengunaan kenderaan yang melepaskan kadar karbon rendah dan menambah jumlah pokok dikawasan zon rendah karbon.   

Menurutnya, MBI akan terus bekerjasama dengan MGTC dalam melaksanakan program pemasangan EV Charger, pemasangan Green Data Centre, projek MyRelamp memberi latihan kepada anggota MBI. 

“Diharap bengkel ini akan dapat meningkatkan pemahaman para peserta dalam menghadapi Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 sepertimana yang diimpikan.

“Kita juga mahu menjadikan Ipoh menjadi lebih bersih, hijau maju”, ujarnya.