LARUT- Pasukan polis telah diarahkan mengambil langkah tegas dan menyerang habis-habisan individu yang membuat ugutan dan berani mengancam keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya mahu individu terbabit yang dikenali sebagai sebastian dan terbabit dengan kumpulan pengganas, harimau pembebasan tamil eelam (ltte) 2.0 segera ditahan.

"Saya meminta kepada PDRM supaya berhati-hati dan hendaklah memastikan kumpulan-kumpulan ini akan diserang sehabis-habisan.

"Mereka yang mengugut seharusnyalah diambill tindakan sewajarnya,"katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 150 mangsa banjir di Dewan Semai Bakti, Felda Ijok, di sini, semalam.

Belliau mengulas sedemikian berhubung isu tindakan seorang lelaki yang mendakwa dirinya ketua komander kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) 2.0 mengugut mahu menyerang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Individu terbabit yang menghantar ugutannya melalui e-mel kepada pihak media turut mendakwa akan menyerang Sri Lanka selepas serangan itu. Dia juga mendakwa akan menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Hamzah berkata, pihak berkuasa tidak pernah tidur dan senarai nama kumpulan yang terlibat dengan aktiviti keganasan sentiasa dipantau. 

Beliau mengingatkan rakyat tidak perlu takut dengan apa jua ancaman kerana negara masih mempunyai undang-undang. 

Menurutnya, akta hasutan 1948 masih diguna pakai untuk mengambil tindakan kepada mana-mana individu yang boleh mendatangkan kemudaratan.

"Individu terbabit juga menghantar ugutannya melalui emel kepada pihak media dan mendakwa akan menyerang ibu pejabat Polis Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan (mindef)", ujarnya.