IPOH-16 Dec: Kerajaan negeri mensasarkan kedatangan pelancong antara 3 hingga 5 juta orang bagi tahun 2021. Justeru itu sebanyak RM25.9 juta diperuntukkan bagi usaha pemulihan dan memaksimakan potensi industri pelancongan di negeri Perak. 

Kenyataan tersebut yang dibentangkan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Saarani Mohamad sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 selepas genap tujuh hari dilantik jawatan itu.

 “Untuk Tourism Perak sebanyak RM7.0 juta diperuntukan meliputi RM1.0 juta anggaran terimaan Cukai Pelancongan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Perbadanan Taman Negeri akan menerima geran tahunan sebanyak RM3.5 juta, Geopark Lembah Kinta RM0.8 juta, pengurusan Bukit Larut RM1.0 juta, pengurusan Taman Botani Taiping RM0.3 juta dan lain-lain program pelancongan RM1.7 juta.

“Kempen pelancongan domestik dituruskan dengan menyediakan 10,000 keping baucar pelancongan #TravelPerakLah yang bernilai RM150, RM50 dan RM30 melibatkan pengusaha penginapan dan pengusaha produk pelancongan yang terpilih”, katanya.

Menurutnya sebagai inisiatif keselamatan sektor pelancongan domestik, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Jawatankuasa Pematuhan Amalan Baik Produk Pelancongan Negeri Perak.

Pasca COVID-19 yang turut dianggotai oleh beberapa NGO berkaitan untuk  mengembalikan keyakinan pelancong. Sebanyak RM10 ribu bantuan secara one-off kepada 12 persatuan dan NGO atas sumbangan membantu memajukan sektor pelancongan di Negeri Perak.

“Penggiat industri yang terkesan akibat pandemik COVID-19, bantuan insentif one-off RM700 diberikan kepada 300 pemandu pelancong yang berdaftar dalam negeri Perak serta RM2,000 kepada 200 syarikat agensi pelancongan dan pengembaraan yang berdaftar.  

“RM4.4 juta diperuntukkan untuk menaiktaraf serta menyelenggara kemudahan-kemudahan pelancongan di seluruh Negeri Perak seperti kerja naiktaraf di Lata Tebing Tinggi, Selama; Zoo Taiping, Taman Alam Kinta, Kampar; dan Kellie’s Castle di Batu Gajah. 

Perbadanan Perpustakaan Negeri Perak juga akan menerima RM10.0 juta bagi belanja mengurus dan kos penyelenggaraan, manakala RM1.6 juta bagi Belanja Pembangunan”, katanya.