KERIAN – Bermula bulan ini, semua Exco kerajaan negeri Perak diketuai Menteri Besar akan turun padang menjelajah negeri bagi mendengar keluhan rakyat selain dapat mengetahui sendiri apakah masalah dan permasalahan yang perlu diselesaikan dalam keadaan sukar ketika ini buat mereka.

Pendekatan turun padang ini juga merupakan komitmen kerajaan negeri sendiri dan berusaha dalam menangani pelbagai kesukaran kehidupan seharian rakyat.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, beliau akan mengetuai barisan Exco untuk menjelajah ke daerah-daerah terpilih mengikuti program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) bagi tujuan tersebut.

Menurut beliau, program itu dinamakan sedemikian kerana selaku Menteri Besar beliau mahu dirinya dan Exco selaku penggerak kerajaan menjadi yang terdahulu untuk melihat kehidupan rakyat sebenar.

“Selain barisan Exco, program ini turut kita libatkan lain-lain agensi yang berkaitan agar apa-apa permasalahan yang perlu diselesaikan boleh dilakukan segera kerana adanya kehadiran wakil-wakil agensi dan pihak berwajib.

“Antaranya seperti Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan jabatan-jabatan lain yang sentiasa berhubung supaya dapat mempermudahkan orang,” katanya pada program‘Executive Talk’ bersama warga pendidik di sini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Pengarah Pendidikan negeri Perak, Dr. Mohd. Suhaimi Mohamed Ali.

Daerah Kerian menjadi destinasi pertama pada program yang julung-julung kalinya dianjurkan itu dengan pelbagai pengisian selain ‘Executive Talk’ seperti program Moh Mengopi Bersama MB dan Mesyuarat Kerajaan Negeri di Daerah-daerah.

Menerusi konsep mesyuarat ini, semua Exco yang hadir akan mendengar semua permasalahan pembangunan yang akan dibentang oleh pegawai Daerah Kerian.