PARIT BUNTAR – Kerajaan Negeri melalui Institut Darul Ridzuan (IDR) sedang giat menyiapkan Blueprint (rangka tindakan) sebagai usaha menjadikan Perak sebagai ‘lubuk emas’ ekonomi menjelang 2030.

Rangka tindakan tersebut kini dalam fasa akhir dan akan dibentangkan ke Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bagi tujuan kelulusan sebelum dijangka akan dilancarkan menjelang akhir bulan ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, tujuan rangka tindakan ini diadakan adalah untuk memberi peluang dan ruang kepada kilang serta usahawan untuk menjadikan Perak sebagai salah satu tempat untuk mendapatkan sumber pendapatan.

Beliau berkata, Selangor dan Pulau Pinang antara negeri yang maju kerana kawasan sektor perindustriannya amat pesat membangun dan jika rangka tindakan ini berjaya, Perak juga mampu melakukan perkara sama.

“Bagaimanapun, ketika kita bentangkan blueprint itu nanti, ia tidak sempurna, namun ia tidak statik sebaliknya bersifat dinamik dari semasa ke semasa, kita akan ubah suai (mengikut keperluan),” katanya.

Saarani berharap segala pengisian blueprint tersebut mampu membantu rakyat yang amat memerlukan bantuan khususnya dalam menghadapi situasi pasca Covid-19.

Terdahulu, beliau hadir pada program, ‘Moh Ngopi Bersama Menteri Besar’ bersempena Program Menteri Besar Perak Bersama Rakyat (MESRA) di Taman Semarak, di sini, pagi tadi.