IPOH – Angsana Mall Ipoh menganjurkan Angsana Best of Busker sempena sambutan 25 tahun Jubli Perak pasar raya berkenaan pada 3 dan 4 April ini.

Pengurus Acara, Mohd Zahir Md Isa berkata, program ini diadakan bertujuan untuk memilih busker terbaik selain untuk menghidupkan semula seni kreatif penghibur jalanan (busker) yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Program ini secara langsung dijadikan platform dan akan sedikit sebanyak membantu busker yang hilang mata pencarian mereka,” katanya ketika dihubungi Peraktastic.

Menurutnya, siaran langsung program tersebut akan disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook Zahnur Entertainment.

“Sebelum ini, kami telah mengadakan siaran langsung melalui laman sosial tersebut sewaktu Battle of Band Peringkat Pertama yang diadakan pada 27 dan 28 Februari lalu,” ujarnya.

Katanya, penyertaan terbuka kepada 30 busker sahaja dan setakat ini hanya enam busker telah mendaftar untuk menyertai program ini.

“Hadiah berbentuk wang tunai disediakan bagi pemenang tempat pertama (RM500); kedua (RM300); ketiga (RM150), keempat dan kelima (RM100).

“Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga turut menerima piala dan mock cheque dan semua pemenang akan mendapat hamper,” katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program ini, yuran dikenakan cuma RM50 dan untuk keterangan lanjut boleh hubungi 017-535 6511 (Abez); 019-504 7799 (Jaja); 012-543 4592 (Nik) dan 019-777 1440 (Exx).

End