IPOH - Penyokong The Boss Gaurus menyambut baik keputusan kerajaan untuk membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan seperti Liga Malaysia berkuat kuasa 1 April.

Keputusan yang dibuat itu bagi mereka satu petanda positif dalam keadaan norma baharu bagi arena sukan bolasepak dengan mengambil kira kepentingan keselamatan penonton.

Nasaruddin Yahya, 45 berkata, kebenaran itu sangat dinanti-nantikan peminat bolasepak tempatan untuk menyatakan sokongan kepada pasukan masing-masing.

Katanya, walaupun larangan meneruskan Liga-M sebelum ini memberi kesan kepada banyak pihak tetapi sebagai peminat mereka akur kerana ia sebagai langkah terbaik dalam memastikan rantaian wabak Covid-19 ini dapat diputuskan sepenuhnya.

"Keputusan dibuat kerajaan itu memang disokong kerana ketika itu pun kita masih tidak dapat menjangkakan berapa lama atau bilakah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini akan berakhir," ujarnya.

Bagi penyokong tegar dari Tapah, Noradzlan Jaafar, 35, kehadiran penyokong ke stadium sangat penting kerana mereka menghidupkan kemeriahan perlawanan.

"Situasi Covid-19 sebelum ini menjejaskan momentum kumpulan-kumpulan penyokong yang ingin menyaksikan pasukan mereka di padang.

"Sebagai penyokong tegar The Boss Gaurus susah pasti kami ingin sentiasa bersama pada masa senang dan juga susah.

"Ketika ini misalnya Perak FC sering mengalami kekalahan dan inilah masanya penyokong perlu menunjukkan kesetiaan," katanya.

Seorang lagi kaki bola tempatan, Syed Musa Syed Ikram pula mahu penyokong yang mahu ke stadium mengikut arahan yang diberikan pihak berkuasa untuk kebaikan bersama.

"Semua pihak harus mengutamakan keselamatan dan nyawa rakyat walaupun kali ini kita tidak dapat menyaksikan kemeriahan bola sepak seperti sebelumnya.

"Apa pun kita bersyukur kerana dapat kembali ke stadium walaupun dalam jumlah yang kecil," katanya

Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan seperti Liga Malaysia berkuat kuasa 1 April.

Perkara itu diputuskan setelah mendengar pembentangan dan cadangan SOP daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berserta pandangan dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM).

Antara syarat yang ditetapkan ialah 10 peratus kapasiti atau 2,000 penonton di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagi kawasan PKP Pemulihan (PKPP) pula adalah 25 peratus kapasiti atau 8,000 penonton dengan kedua-duanya melibatkan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

Bagaimanapun, semua penganjuran kejohanan dengan kehadiran penonton adalah tertakluk kepada kebenaran oleh KBS.

Sementara itu, pasukan The Boss Gaurus ketika ini berada pada kedudukan kesepuluh dalam saingan Liga Super.

Dalam perlawanan kelmarin, pasukan Perak FC tewas 0-3 kepada Kuala Lumpur City FC dan sebelum itu akur pada kehebatan Terengganu FC dengan keputusan 2-0.

Pasukan adik, Perak FC II juga tewas 0-2 dengan Negeri Sembilan pada perlawanan Liga Premier.