IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak pernah melaksanakan konsep monopoli dalam urusniaga ais kepada peniaga-peniaga di Pasar Borong Ipoh kerana semua perniagaan yang dijalankan adalah mengikut kebenaran lesen masing-masing.

Perniagaan ais di Pasar Borong Ipoh telah dilesenkan pada seorang peniaga selaku peniaga ais tunggal di pasar borong tersebut yang turut pernah mengadu berkaitan isu perniagaan ais tanpa lesen oleh seorang peniaga ikan pada tahun 2016.

Hasil siasatan mendapati pihak Persatuan Pemborong Ikan telah melantik peniaga ikan tersebut untuk membekalkan ais kepada ahli-ahlinya yang merupakan peniaga ikan di pasar borong berkenaan dengan alasan tawaran harga peniaga ais tunggal di pasar borong tersebut adalah terlalu tinggi.

Bagaimana pun, aduan berhubung perkara sama ditimbulkan sekali lagi pada Februari lalu oleh peniaga ais berlesen tersebut pada 2019.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, susulan dakwaan tersebut satu kata sepakat telah dicapai antara MBI dengan wakil persatuan peniaga Pasar Borong Ipoh supaya mewujudkan satu jawatankuasa bagi membincangkan seterusnya memberi cadangan sebagai penyelesaian berhubung dakwaan dalam urusniaga ais di premis tersebut.

Menurut beliau, perkara itu diputuskan pada pertemuan antara MBI bersama wakil peniaga, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi-agensi lain termasuk polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Imigresen di Dewan Mesyuarat MBI hari ini.

“Sememangnya tiada peniaga ais lain yang mempunyai lesen berniaga di pasar itu. Bagaimana pun pihak Persatuan Pemborong Ikan telah melantik salah seorang peniaga di situ untuk membekalkan ais kepada ahli-ahli persatuan yang juga merupakan peniaga dan pemegang lesen ikan.

“Susulan itu, kita telah memberi notis lisan kepada peniaga tersebut agar menghentikan aktiviti tersebut atau lesen perniagaanya boleh dibatalkan. Pada masa ini perkara tersebut telah beliau patuhi.

“Pada masa sama saya minta persatuan-persatuan peniaga berbincang dalam komuniti mereka untuk beri cadangan pada MBI tentang urusniaga ais ini berapakah pembekal ais yang mereka perlukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan persatuan peniaga di Dewan Mesyuarat MBI di sini.

Pasar Borong Ipoh yang terletak di Kawasan Perusahaan Mengglembu menempatkan 298 peniaga meliputi 13 jenis perniagaan dengan melibatkan 226 peniaga.

Media sebelum ini melaporkan, sebuah NGO iaitu Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Perak menggesa MBI tegas dalam menangani isu peniaga ais tidak berlesen serta pekerja asing di Pasar Borong Ipoh.

Dakwa wakil gabungan itu, permasalahan yang berlaku itu yang memberi kesan kepada peniaga berlesen di samping memberi gambaran bahawa wujud situasi yang tidak sihat di pasar borong berkenaan dan perlu ditangani segera oleh pihak berkuasa.

Dalam pada itu kata Rumaizi, tiada peniaga warga asing yang dibenarkan berniaga di Pasar Borong Ipoh seperti didakwa tetapi tidak menolak ada dalam kalangan peniaga di situ yang menggajikan warga asing secara tidak sah.

“Ada sesetengah peniaga mengambil pekerja pendatang asing warga Rohingya, kita akan merujuk perkara ini kepada pihak polis dan Jabatan Imigresen untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Pada masa sama, MBI akan memantapkan lagi kerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan bagi memastikan aktiviti perniagaan di Pasar Borong Ipoh berjalan mengikut peraturan yang telah kita tetapkan,” ujar beliau.