IPOH – Kerajaan dirayu untuk meneruskan semula projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang tertangguh sejak Disember 2019 sehingga mengakibatkan kira-kira 10,000 pekerja tempatan hilang punca pendapatan.

Penangguhan projek nasional yang dijalankan di Lumut itu turut memberi impak kepada 400 syarikat pembekal tempatan malahan 50 peratus daripadanya terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu lagi menanggung pelbagai masalah termasuk bebanan hutang.

Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memohon kepada kerajaan supaya dapat menyambung semula projek berkenaan serta menyelesaikan segala masalah berkaitan dengan segera.

Katanya, maklumat awal daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Boustead Holdings Bhd, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyatakan isu berkenaan agak rumit dan memerlukan beberapa tindakan penyelesaian menyeluruh.

“Masalah yang dihadapi itu amat sulit dan memerlukan penelitian yang mendalam.

“Namun, jika perkara itu tidak diselesaikan, boleh memberi kesan terutamanya terhadap ekonomi tempatan dan negara secara keseluruhannya,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Perak Hamzah Jaaffar dan Pengarah Urusan Samudera Selatan Engineering Sdn Bhd, Shafie Tamrin.

Justeru, beliau meminta kerajaan khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera tampil membantu dalam menyelesaikan masalah yang menyebabkan syarikat pembekal dan pekerja-pekerja terjejas akibat projek yang ditangguhkan itu.

Pada 2014, kerajaan menganugerahkan kontrak pembinaan enam LCS untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9.128 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Daripada jumlah itu, sejumlah RM6 bilion sudah dibayar kepada syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, mengikut perancangan asal, dua daripada enam LCS sepatutnya sudah diterima, namun sehingga kini masih belum ada kapal yang disiapkan.