IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika ini sedang menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari selepas dikesan menjadi kontak rapat kepada pesakit yang disahkan positif Covid-19.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Sham Mat Sahat berkata, beliau menerima maklumat bahawa Saarani diminta untuk menjalani kuarantin bermula hari ini sehingga 11 Mei, selepas menjadi kontak rapat dengan individu berkenaan ketika menghadiri satu program di Lenggong.

Menurutnya, Menteri Besar memaklumkan tidak dapat hadir Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Negeri Perak Darul Ridzuan 2021 di Masjid Sultan Idris Shah II di sini kira-kira jam 5 petang semalam.

"Beliau juga meminta saya mewakilkannya untuk menghadiri majlis berbuka puasa di Batu Kurau pada Jumaat ini disebabkan beliau dikuarantin.

"Bagaimanapun saya tidak dapat lagi maklumat penuh dan tidak dapat memaklumkan lebih lanjut," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis yang turut dihadiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Beliau berkata, Saarani diminta menjalani kuarantin selepas selesai mempengerusikan mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Perak semalam disusuli sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Semalam, Menteri Besar menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang turut dihadiri Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin di Bangunan Darul Ridzuan di sini hari ini.

Pelan itu antara lain menggariskan perkara-perkara berkaitan pelakuan rasuah, integriti dan tanggungjawab yang perlu dilakukan bagi menolak korupsi.

Difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun turut menjadi kontak rapat kes berkenaan dan diarah menjalani kuarantin bagi tempoh sama.