IPOH - Barisan Nasional (BN) Perak mewakili seluruh jentera pentadbiran dan rakyat jelata, merafakkan setinggi-tinggi penghargaan ke atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Shah Muhibbudin Shah Al-Maghfur-Lah terhadap nasib golongan asnaf, keluarga miskin dan mereka yang hilang mata pencarian susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 
 
Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad demikian dalam satu kenyataan media berhubung perkenan Sultan Perak di atas peruntukan dana berjumlah RM14.6 juta melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi meringankan derita rakyat yang terjejas ekoran pandemik Covid-19.
 
Menurutnya, dana khas tersebut termasuk bantuan kecemasan kelangsungan hidup berjumlah RM10.9 juta dan RM600,000 bagi tajaan peralatan kesihatan serta perubatan diperlukan segera Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak adalah manifestasi kepekaan baginda terhadap impak yang ditanggung rakyat susulan pelaksanaan PKP. 
 
“Titah baginda supaya bantuan turut disalurkan kepada petugas barisan hadapan membuktikan penghargaan baginda terhadap pengorbanan dan segala kerja keras pasukan perubatan dan keselamatan sepanjang berlakunya pandemik Covid-19,’’ katanya.
 
Selain itu, beliau berkata, RM400,000 adalah sumbangan untuk petugas barisan hadapan, bantuan pakej tablet dan data internet untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian serta pelajar sekolah (RM1.5 juta), bantuan kebajikan pelajar luar negara (RM200,000) dan sumbangan untuk pusat jagaan anak yatim, rumah orang tua, serta
warga emas Islam (RM400,000).
 
"Turut dirangkumkan dalam dana khas terbabit adalah tajaan bekalan makanan institusi pendidikan (RM200,000), sumbangan kepada pusat gelandangan sementara di bawah kendalian kerajaan negeri (RM200,000) dan sumbangan untuk program vaksinasi Covid-19 MAIPk yang menyasarkan kumpulan dikenal pasti perlu segera menjalani vaksinasi (RM200,000)," jelasnya. 
 
Saarani berkata, baginda sejak awal amat prihatin terhadap kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam menghadapi pandemik Covid-19 dengan mengikuti rapat perkembangan langkah-langkah yang diambil bagi membendung penularan wabak berkenaan termasuk aspek pemberian vaksin kepada rakyat. 
 
Semalam Yang Dipertua MAIPk, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dilaporkan berkata, penyediaan dana itu khusus yang dititahkan kepada MAIPk merangkumi bantuan kecemasan kelangsungan hidup berjumlah RM10.9 juta dan RM600,000 bagi tajaan peralatan kesihatan serta perubatan diperlukan segera JKN Perak.