IPOH - Nasib menyebelahi seorang pemandu kereta apabila dia berjaya menyelamatkan diri setelah kenderaan Nissan Teana dipandunya terbakar di Jalan Lang Indah, Gunung Lang di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah hari itu, kenderaan tersebut musnah 80 peratus.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.58 tengah hari daripada orang awam

Menurut beliau, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dihantar ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

"Semasa bomba tiba, pemilik kereta yang tidak mengalami kecederaan sempat keluar sebelum api merebak membakar kenderaan tersebut.

"Pemadam dilakukan menggunakan dua hos air daripada jentera bomba sebelum api padam sepenuhnya," ujar jurucakap terbabit.

Operasi yang diketuai PBK II Mohd Rosli Ibrahim ini tamat sepenuhnya pada jam 1.32 petang.