IPOH – Pusat pemberian vaksin (PPV) Klinik Briged Utara di Markas Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta yang mula beroperasi hari ini sekali gus menjadi PPV pertama yang dikendalikan sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain mempercepatkan proses vaksinasi pada komuniti setempat, ia juga menunjukkan kepercayaan Jabatan Kesihatan negeri Perak apabila meluluskan serta melantik Klinik Briged Utara sebagai PPV.

Buat permulaan, seramai 1,472 ahli keluarga polis di dalam kem tersebut yang melibatkan PGA, Pusat Latihan PGA dan Komando 69.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, apabila semua ahli keluarga dalam kem tersebut selesai divaksin, PPV itu kelak boleh memberikan suntikan pada penduduk berdekatan berdasarkan kebenaran Jabatan Kesihatan negeri Perak.

Menurut beliau, PPV ini beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dengan jangkaan proses vaksinasi dos pertama dapat dihabiskan dalam tempoh dua minggu.

“Seramai 20 anggota PGA mengendalikan PPV ini dan mereka berpengalaman sebagai sukarelawan semasa membantu PPV Stadium Indera Mulia, Ipoh secara sukarela dalam proses vaksinasi melibatkan petugas keselamatan barisan hadapan sebelum ini.

“PPV Klinik Briged Utara PGA menjadi PPV pertama dalam PDRM yang diuruskan sepenuhnya oleh petugas klinik sendiri dan vaccinator terdiri daripada penolong pegawai perubatan dan jururawat terlatih termasuk anggota-anggota perubatan briged ini,” ujarnya.

Terdahulu, majlis perasmian pembuakaan PPV Klinik Briged Utara PGA ini disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik yang juga Pengerusi Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan negeri Perak.

Turut hadir Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji dan Pegawai Kesihatan Kinta, Dr Asmah Zainal Abidin.

Seramai 400 penerima vaksin dos pertama disasarkan untuk menerima suntikan pada hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Noh, perkhidmatan PPV Klinik Briged Utara juga akan dibuka kepada penduduk sekitar meliputi kawasan Tanjung Rambutan dan Kinta dengan keutamaan kepada ibu hamil.

“Selain itu, PPV ini juga boleh memberikan khidmat kepada semua pasukan berseragam lain seperti Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Majlis Bandaraya Ipoh sepertimana yang akan ditetapkan oleh pihak Jabatan Kesihatan negeri Perak,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang penerima vaksin, Sarjan Kamaluddin Sulaiman, 55, gembira apabila telah divaksin sekali gus melindungi diri daripada kemungkinan jangkitan Covid-19.

Katanya, dia sebelum ini adalah pesakit positif Covid-19 dan menjalani rawatan intensif selama 21 semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun pada Januari lalu

“Saya mulanya mengalami simptom seperti hilang selera makan sebelum demam dan hanya ke klinik untuk mengambil ubat kerana tidak menyangka apa-apa.

“Bagaimana saya mula bimbang apabila salah seorang rakan setugas disahkan positif Covid-19 yang dijangkiti semasa diziarahi ahli keluarga.

“Alhamdulilah, selepas menerima suntikan saya merasa lebih selamat dan tidak mahu dijangkiti,” ujarnya.