GOPENG - Perjalanan sepasang suami isteri berakhir dengan tragedi apabila pemandunya maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kampar - Ipoh dekat Kampung Jeram di sini hari ini.

Kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki pasangan itu setelah bertembung dengan Proton Persona dipandu seorang lelaki.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.38 pagi.

Menurut jurucakap tersebut, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng telah dikerah ke tempat kejadian.

"Pemandu Perodua Myvi yang mengalami kecederaan parah tersepit di dalam kereta telah dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas.

"Mangsa, Abd Rane Saed, 69, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," kata jurucakap tersebut.

Penumpang wanita Perodua Myvi dan pemandu Proton Persona bagaimana pun cedera ringan dan diberikan rawatan oleh petugas perubatan.

Operasi yang diketuai PBK II Mohd Tarmizi Rasid tamat sepenuhnya pada jam 11.25 tengah hari.