IPOH - Malang menimpa seorang tukang rumah apabila dia patah pada buku lali setelah terjatuh semasa sedang bertukang di sebuah kediaman di Jalan Besi, Kampung Baru Buntong di sini pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Zulkarnain Ahmad Nazeri, 40, terjatuh semasa berada pada bahagian siling rumah ketika kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.31 tengah hari.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh telah dihantar ke lokasi bagi memberi bantuan kecemasan.

"Setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku runtuhan sebahagian struktur rumah semasa mangsa sedang bertukang.

"Semasa kejadian mangsa, seorang lelaki Melayu bersama rakan berada pada bahagian siling sedang membuat kerja pengubahsuaian," ujar jurucakap tersebut.

Anggota bomba telah memberikan rawatan awal dan mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan lanjut.

Operasi yang diketuai PBK II Mohd Fauzi Abd Aziz tamat pada pukul 11.50 tengah hari.