IPOH - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta mencatatkan jumlah pemberian vaksin sebanyak 12,000 dos vaksin satu dan dua sejak ia mula beroperasi pada 13 Julai lalu. 
 
Timbalan Komander Briged Utara PGA Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, kejayaan ini dicapai atas hasil usaha pegawai dan 35 sukaralewan PPV berkenaan termasuk sokongan yang diberikan Kementerian Kesihatan (KKM). 
 
Menurutnya, sepanjang PPV terbabit beroperasi sambutan yang diberikan penduduk sekitar Ipoh terutamanya di kawasan Hulu Kinta amat menggalakkan. 
 
"Bermula dari proses pendaftaran dilaksanakan Pegawai sehingga proses akhir vaksinasi tempoh masa yang diambil bagi seorang penerima vaksin hanya 20 minit.
 
"Berikutan itu, kita memperluaskan pemberian vaksin ini dengan mengadakan program outreach dan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) bagi memastikan warga masyarakat dapat vaksin. 
 
"Selain itu, program vaksin membabitkan ahli kariah masjid turut diadakan dan setakat ini terdapat enam masjid sudah berdaftar dengan PPV.
 
"Selepas ini, kita akan laksanakan pemberian vaksinasi kepada kaum India. Kita juga akan meneruskan program ini, bagaimanapun ia bergantung kepada  jumlah vaksin yang akan dibekalkan KKM," katanya kepada Peraktastic pada hari ini selepas upacara ringkas memotong kek dan doa selamat di atas kejayaan PPV terbabit mencapai pemberian 12,000 suntikan dos vaksin dalam tempoh lebih kurang tiga bulan.
 
 
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman memohon supaya KKM mempertimbangkan supaya PPV Klinik Briged Utara PGA diiktiraf di bawah kementerian itu supaya dapat terus membantu masyarakat di Ipoh untuk mendapatkan suntikan vaksin. 
 
"Terima kasih kepada Tuan Mohd Noh dan petugas di PPV ini yang telah banyak membantu dalam mempercepatkan pemberian vaksin kepada masyarakat di Ipoh," ujarnya. 
 
Sementara itu, dalam perkembangan lain, seramai 200 ahli kariah Masjid Solatiah Rapat Setia Baru pada hari ini. 
 
Pengerusinya, Datuk Md Damiri Md Sairi bersama Bendahari, Mohamed Isa Khalid serta Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ipoh, Muhammad Nurfadzli Anuar turut hadir meninjau proses pemberian vaksinasi di PPV terbabit. 
 
Md Damiri turut menyampaikan sumbangan wang untuk menbantu PPV berkenaan kepada Pegawai Kebajikan Briged Utara PGA merangkap Pegawai Penyelaras PPV Klinik Briged Utara, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad.