KUALA LUMPUR - Dijangkakan sehingga 30 peratus atau kira-kira 31,800 daripada jangkaan 106,000 pesakit yang menjalani dialisis buah pinggang menjelang tahun 2040 adalah terdiri golongan muda.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kajian mendapati seramai 8,000 pesakit baharu dikesan pada 2018 menyaksikan trend terbabit turut menunjukkan peningkatan setiap tahun.

"Sekiranya berterusan, jumlah pesakit yang akan menjalani rawatan dialisis adalah seramai 106,000 orang pada tahun 2040.

"Lebih membimbangkan kerana dijangka 30 peratus daripada jumlah pesakit adalah golongan muda berusia bawah 40 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Buah Pinggang 2021 yang diadakan secara maya di laman Facebook MYBuahPinggang di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, kesan penyakit buah pinggang kepada penghidap muda perlu diberi perhatian kerana ia turut memberi implikasi pada produktiviti negara secara menyeluruh.

Justeru katanya, Kementerian Kesihatan melalui perkhidmatan Nefrologi, Persatuan Nefrologi Malaysia dan Yayasan Buah Pinggang akan mengadakan pelbagai program untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Kita akan mengadakan pelbagai program kesedaran kepada rakyat supaya menjalani pemeriksaan kesihatan, malah membabitkan pesakit dalam pelbagai aktiviti termasuk rawatan.

"Selain itu, kesedaran awam kepada semua pihak serta mempergiatkan lagi program saringan, pendidikan, penggunaan digital membabitkan golongan belia dan kanak-kanak dalam program duta ginjal," katanya.