MachaMee pasti dicari peminat pasembur
- Details
- Sheqal Danish
- Makanan Minuman
- Hits: 1549
IPOH - Meskipun memulakan perniagaan restoran merupakan proses payah dan mahal, namun bagi pengusaha MachaMee, beliau meletakkan sasaran lebih jauh hendak menembusi pasaran global.
Semangat Syed Aminuddin Syed dizahirkan apabila membuka MachaMee iaitu restoran yang khusus menyajikan pelbagai jenis pasembur tetapi berbeza dengan kebanyakan kedai mamak.
Yakin bahawa restoran yang baik akan sentiasa menerima pelanggan, beliau juga mahu MachaMee memenuhi perkara tersebut sebagai pilihan.
Menurut Syed Aminuddin, selain pasembur restoran itu juga menyajikan mi rebus dan mi goreng tetapi dengan cara penyediaan sedikit berbeza.
"Sebagai peminat pasembur, saya dapati sehingga kini tiada sebuah restoran khusus menyajikan makanan ini walaupun ia cukup popular dalam kalangan kita.
"Bagaimana pun, pasembur di setiap kedai adalah berbeza. Malah, kita lihat penjual pasembur menggunakan food truck di tepi jalan juga ada peminat tersendiri.
"Lalu timbul idea kenapa tidak membuka sebuah restoran hanya menjual pasembur tapi diberi sentuhan baharu dan banyak pilihan," ujarnya.
Semalam, restoran MachaMee yang terletak di Station 18 di sini dibuka secara rasmi yang disempurnakan oleh bapa Syed Aminuddin sendiri, Syed Mohamed Sikinthar Bacha.
Berkonsepkan seperti sebuah restoran makanan segera, MachaMee turut menyediakan ruang pandu lalu bagi memudahkan pesanan pelanggan.
Kata Syed Aminuddin, MachaMee menyajikan pilihan pasembur biasa dan juga combo makanan laut sebagai penambah pilihan.
Bagi yang inginkan pasembur premium, antara pilihannya ada set sama ada udang galah, lobster bunga, Canadian Boston lobster dan Alaska King Crab.
Harga bagi setiap set premium ini adalah antara RM37 hingga RM328.
"MachaMee bukanlah restoran kelas atasan sebaliknya boleh dikunjungi sesiapa sahaja kerana hidang kita berpatutan iaitu bermula RM7.90.
"Kita juga ada set pasembur talam sesuai untuk dua hingga tiga orang pada harga RM24 atau RM48 untuk lima hingga enam orang.
"Bagi penghilang dahaga, MachaMee ada cendol gula apong dan ABC gula apong," ujarnya.
Dalam soal portion makanan, restoran MachaMee tidak lokek justeru pelanggan pasti merasa puas apabila datang makan ke situ.