Iftar Ramadan: Rokiah Kopitiam saji masakan Baba-Nyoya era 50-an
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Makanan Minuman
- Hits: 1841
Melangkah sahaja ke Kopitiam Rokiah, perasaan bagai diheret ke era klasik 50-an, takala alunan merdu suara primadona Rokiah Wanda ‘Bulan Ditutup Awan’ menerjah ke rongga telinga.
Di sinilah tempat ‘eksklusif’ melarikan diri sejenak dari kesibukan metropolitan sambil menikmati sajian yang bisa menjemput kerinduan kepada kampung halaman.
Seperti premis perniagaan yang lain, Rokiah Kopitiam tidak ketinggalan menawarkan sajian ‘Cahaya Ramadan’ berbuka puasa secara ala carte disamping mengekalkan sentuhan tradisional melayu lama dan citarasa Baba Nyonya Melaka.
Sajian-sajian ‘meletop’ di sini antaranya Nasi Lemak Sentul, Asam Pedas Set, Daging Lemak Cili Api, Lontong Rokiah , Soto Ayam, Nasi Daging Harimau Menangis, Nasi Goreng Kerabu Daging Salai, Penang White Curry Mee dan Rokiah’s Prawn Mee .
Rokiah Kopitiam terletak di Lorong Concubine Lane ini, menonjolkan konsep klasik melayu tradisional yang tenyata menarik perhatian pelancong-pelancong dalam dan antarabangsa tanpa mengira bangsa.
Pemiliknya, Nurul Hadjar Jamaluddin@Jay berkata dengan mengekalkan keaslian struktur bangunan tanpa pengubahsuaian, menjadikannya satu tarikan istimewa kepada para pelanggan disamping dekorasi ‘vintage’ yang seolah-olah berada di era 50-an.
“Bangunan ini merupakan rumah warisan Cina yang berusia lebih 125 tahun. Pada zaman kegemilangannya ia menjadi tempat taukeh-taukeh bijih timah menyimpan ‘gundik-gundik’. Namun kini 'lorong gelap' ini antara lokasi jejak Warisan Ipoh yang wajib dikunjungi.
“Rokiah Kopitiam diangkat namanya sempena mengenang arwah nenek saya Rokiah Abu Chik, yang berdarah peranakan Baba Nyonya Melaka. Saya adalah antara pewaris legasi kemahiran masakan Baba Nyonya nenek saya.
“Sememangnya resepi dan rahsia kemahiran penyediaan masakan Baba Nyonya Melaka ini telah sebati dengan diri saya. Untuk itu, saya komersialkan sajian ini dan akhirnya mendapat sambutan menggalakkan dari pelbagai bangsa”, katanya.
Selain menikmati kelazatan lauk pauk, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai kuih muih yang disajikan ‘panas-panas’ dari dapur untuk dinikmati bersama aroma kopi Che Nah. Harga yang dikenakan sangat berbaloi iaitu bermula RM15.00 keatas.
Waktu operasi di bulan Ramadan ini terbahagi kepada dua sesi iaitu Isnin hingga Khamis bermula 3.00 petang hingga 10.00 malam. Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 10.00 pagi hingga 10.00 malam. Sebarang pertanyaan dan tempahan bolehlah menghubungi Jay di talian 018 958 6300.
Mungkin ada yang sudah jemu bersantai di kafe-kafe hipster atau pun di kafe yang berkonsep minimalis. Jadi, Rokiah Kopitiamlah ‘port’ paling sesuai untuk bersantai yang mampu mencetuskan pelbagai inspirasi dan ketenangan jiwa! -PERAKTASTIC-