Yusuf Restaurant : Nasi Kandar Penang Terbaik, wajid dikunjungi!
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Makanan Minuman
- Hits: 31146
Sebut sahaja Pulau Pinang, sudah pasti terbayang akan kelazatan nasi kandar yang dilimpahi campuran kuah kari, kacang bendi dan ketulan ayam berempah beraroma melecurkan selera.
Begitulah penagan nasi kandar, walaupun terpaksa beratur panjang namun tetap sabar demi menikmati sepinggan juadah tengahari.
Menu nostalgia serba ringkas ini, begitu sinomin dengan Pulau Mutiara yang juga terkenal dengan Jeruk Madu Pak Ali.
Kunjungan kami ke Yusuf Restaurant di atas cadangan pihak Tourism Malaysia Utara sememangnya tidak menghampakan harapan kami untuk menikmati kelazatan nasi kandar Penang.
Yusuf Restaurant, terletak di Jalan Terubong Relau, Bayang Lepas, milik Muhamad Yusuf Muhammad Abbas antara restoran nasi kandar yang popular sejak tahun 2015.
Menurut Yusuf, saban hari beliau dikunjungi lebih seratus pengunjung untuk menjamu selera di restorannya walaupun terpaksa menunggu giliran.
“Kebanyakan pelanggan yang datang menggemari nasi kandar campuran kuah kari yang giling sendiri. Mungkin inilah keistimewaan masakan kami yang berlainan citarasa berbanding dengan restoran nasi kandar yang lain.
“Kami menghasilkan lebih kurang 30 jenis masakan sehari. Antara menu yang popular ialah ayam ros, ayam bawang, ayam kari, ayam madu, ayam kurma, ayam tanam masak dengan nasi brayani, ayam kampung kari, itik nila ros, kambing kurma dan pelbagai lagi.
“Lebih 100 ekor ayam digunakan dalam sehari untuk menu-menu berasakan daging ayam. Adakalanya sambutan diluar jangkaan membuatkan kami terpaksa menambah lagi bilangan ayam. Harga nasi kandar kami di antara RM7.00 hingga RM10.00,” katanya sewaktu ditemubual di restorannya baru-baru ini.
Muhamad Yusuf juga turut menjual mutabak ayam, mutabak daging dan mutabak kambing. Menurutnya permintaan murtabaknya begitu menggalakkan pada setiap hari.
“Saya menghasilkan murtabak lebih 100 keping sehari namun ia bergantung kepada permintaan. Harga murtabak ayam dan daging ialah RM5.00 dan kambing RM8.50. Keistimewaan murtabak di sini, kami menggunakan ramuan rempah-ratus yang giling sendiri selain bahan-bahan asas seperti bawang, tepung dan telur.
“Bawang jeruk dan bawang goreng minyak sapi merupakan bahan yang di makan bersama murtabak selain dari kuah kari. Silalah datang mencuba kelainan citarasa menu kami,” katanya sambil tersenyum.
Jadi, sekiranya anda ke Pulau Pinang jangan terlepas berkunjung ke Yusuf Restaurant. Citarasanya sememangnya berbaloi dengan wang anda. Waktu operasi 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Lokasi : 823-G-4 Jalan Paya Terubong Relau, 11900 Bayan Lepas Pulau Pinang.
Instagram : yusufrestaaurant
Facebook : yusufrestaurant.yr
-peraktastic-